Wednesday, 23 July 2014

Petua Mendapatkan Kuku yang Cantik & Sihat

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Bak kata orang, kalau nak mengetahui sama ada seseorang tu pembersih atau pun tidak, tengok lah pada kukunya. Kalau kuku seseorang tu panjang dan penuh daki hitam, maka kemungkinan besar orang itu adalah pengotor. Jadi, kenalah jaga kebersihan kuku supaya kuku sentiasa kelihatan cantik dan dalam masa yang sama boleh mengelakkan jangkitan kuman yang disebabkan oleh kuku yang kotor. Pada zaman sekarang, ramai perempuan di luar sana yang berhabis duit untuk rawatan manicure dan pedicure demi mendapatkan kuku yang cantik. Bagi mereka yang ingin mendapatkan kuku yang cantik dengan menggunakan barangan dapur anda, boleh lah mencuba petua-petua ini:

1/ Susu
Bancuh secawan susu suam. Rendamkan kuku anda ke dalam larutan susu tersebut selama 5 minit. Sebagai alternatif, anda juga boleh mengamalkan minum susu suam setiap hari. Larutan susu mengandungi kandungan protein yang boleh membantu menguatkan kuku. Kerap merendamkan kuku di dalam larutan susu juga boleh membantu melembutkan kulit. 


 2/ Timun
Ambil sepotong timun dan sapukan pada kuku anda. Lakukan dengan kerap untuk mendapatkan kuku yang cantik. Anda juga boleh mengamalkan meminum jus timun sebagai alternatif jika tidak mahu menyapunya pada kuku. Timun mengandungi kandungan silikon yang tinggi, yang penting untuk membina dan mengekalkan kuku yang kuat.


3/ Air Mawar
Sediakan semangkuk air mawar dan rendamkan kuku anda ke dalam rendaman air mawar tersebut selama 10-15 minit. Air mawar bukan sahaja mempunyai bau yang wangi, ia juga mempunyai manfaat terapeutik dan mempunyai ciri-ciri anti-radang dan anti-bakteria yang boleh merawat kulit mati dan melembapkan kuku dan kulit yang kering. Ia juga boleh membantu anda mendapatkan kuku yang cantik dengan memberi warna merah/merah jambu pada kuku.


 4/ Minyak Zaitun
Panaskan minyak zaitun dalam ketuhar dan biarkan ia sejuk sedikit. Rendamkan kuku anda dalam minyak tersebut selama 15 hingga 30 minit. Kemudian, urutkan minyak zaitun pada kuku dengan gerakan kecil membulat sehingga minyak menyerap sepenuhnya pada kuku. Minyak zaitun membekalkan kelembapan pada kuku dan bagus dalam membantu pertumbuhan kuku yang sihat. Ia juga boleh membantu menjadikan kuku berkilat secara semulajadi.


 5/ Lemon/limau nipis
Sediakan semangkuk jus lemon/limau. Kemudian, rendamkan kuku ke dalam larutan jus tersebut selama 15-20 minit supaya kuku dapat menyerap kandungan mineral yang terdapat pada lemon/limau. Selain menguatkan kuku, lemon/limau juga boleh membantu menjernihkan kuku.


Tip-tip tambahan:
-Jangan amalkan menggigit kuku. Tabiat ini boleh merosakkan bahagian tepi kuku dan membenarkan bakteria atau kulat masuk dan menyebabkan jangkitan.
-Pastikan kuku sentiasa kering dan bersih untuk mengelakkan jangkitan kuman.
-Elakkan terlampau kerap menggunakan bahan kimia seperti pewarna kuku.


Selamat mencuba semua… Wallahu A’lam..

Sumber gambar: Google image search

P/S: Sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua jika anda mempunyai masalah kulit sensitif.

Monday, 23 June 2014

Petua Memutihkan Gigi

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Kalau jumpa mamat/minah muka kacak atau jelita, body muscular or slim, tapi sekali buka mulut, gigi dia kuning mesti korang tak jadi tackle mamat/minah tu kan. Orang selalu kaitkan orang yang mempunyai gigi kuning ni tak pandai jaga kebersihan dan malas gosok gigi. Tapi kalau pembaca-pembaca adalah orang yang menjaga kebersihan gigi tapi gigi tak putih-putih juga, mungkin boleh cuba petua-petua di bawah:

1/ Minyak Kelapa
Berus gigi anda dengan minyak kelapa, dan kumur-kumur dengan minyak kelapa selama 5-10 minit. Kemudian, ambil kain dan gosok gigi anda dengan kain tersebut. Apabila anda kumur-kumur dengan minyak kelapa, bakteria akan tersangkut dan terlarut ke dalam larutan minyak. Minyak kelapa mengandungi lauric acid yang mempunyai ciri-ciri anti bakteria yang membantu membunuh bakteria dan virus.


2/ Kulit Pisang
Ambil satu bahagian kulit pisang, kemudian gosokkan bahagian dalam kulit pisang yang berwarna putih pada gigi anda. Biarkan selama tidak lebih daripada 15 minit dan kemudian gosok gigi seperti biasa. Mineral di dalam kulit pisang seperti kalium dan bromin akan memutihkan gigi secara semulajadi.


3/ Daun Saderi
Amalkan selalu mengunyah daun saderi sekali sehari. Daun saderi mengandungi kandungan air yang tinggi. Mengunyah daun saderi boleh membantu mengusir plak yang terdapat pada gigi dan dalam pada masa yang sama juga boleh membersihkan ruang di antara celah gigi dengan mengeluarkan makanan dan kuman yang terdapat pada celah-celah gigi.


4/ Cuka Epal (apple cider vinegar)
Anda boleh berkumur menggunakan cuka epal atau pun celup berus gigi anda ke dalam larutan cuka epal dan kemudian berus gigi dengan larutan tersebut. Dinasihatkan untuk menggunakan cuka epal sekali sahaja dalam seminggu kerana penggunaan yang terlalu kerap boleh menghakis enamel anda kerana kandungan asidnya yang tinggi. Pastikan anda memberus secukupnya kali kedua dengan ubat gigi selepas memberus dengan cuka. Cuka epal merupakan ejen pemutih yang berkesan menghilangkan kesan karat pada gigi.  



Daripada pembacaan MinahCun, ramai yang dah cuba cara pertama dan kedua, menggunakan minyak kelapa dan kulit pisang, dan hasilnya agak memuaskan. Jadi, MinahCun baru-baru nak mencuba. Pembaca-pembaca juga boleh mencuba petua-petua yang dikongsikan. Bagi MinahCun, untuk mendapatkan gigi yang putih ni, selain kena rajin menggosok gigi setiap kali selepas makan terutama sekali sebelum tidur, kita juga kena rajin-rajin lah floss gigi supaya kuman tidak membentuk plak. Setuju tak? Selamat mencuba semua… Wallahu A’lam..

Sumber gambar: Google image search

P/s: Sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor gigi anda sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan jika anda mempunyai masalah kesihatan berkaitan gigi dan gusi anda.


Monday, 16 June 2014

Petua Membersihkan Mata Putih

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Bak kata orang, dari mata turun ke hatioleh itu, mata mestilah bersih, barulah boleh turun ke hati. Kalaulah mata putih kita kuning, takut orang pandang mata yang kuning tu, tak turun-turun ke hati pula..hehe. Antara sebab mata putih bertukar menjadi kekuning-kuningan adalah kerana kandungan toksin yang tinggi dalam badan dan juga kerana terdedah kepada pancaran cahaya matahari terlalu lama. Tapi perlu diingatkan, anda perlu mendapatkan pemeriksaan doktor kerana mata putih boleh juga bertukar menjadi kuning kerana penyakit seperti demam kuning (jaundice), penyakit berkaitan hati seperti barah hati dan cirrhosisanemia (kurang sel darah merah) dll. Jika pemeriksaan doktor menunjukkan anda bebas daripada penyakit yang boleh menyebabkan mata kuning anda boleh mencuba petua yang MinahCun kongsikan ini untuk membersihkan mata:

1/ Lobak Merah
Ambil sebatang lobak merah segar dan kisarkan lobak tersebut untuk mendapatkan jusnya. Gunakan jus sebagai penitik mata tapi jangan titiskan terus ke mata. Titiskan pada bahagian kelopak mata. Amalkan sebelum tidur setiap malam. Lobak boleh membantu mata putih anda kelihatan lebih cerah dan lebih putih. Anda juga boleh mengamalkan meminum jus lobak dengan kerap kerana kandungan Vitamin A bagus untuk kesihatan mata.
 


2/ Daun sirih
Ambil segenggam daun sirih dan campurkan dengan 4 cawan air bersih ke dalam periuk.kemudian, Rebuskan daun sirih tersebut sehingga mendidih. Biarkan rebusan air daun sirih tersebut sejuk. Kemudian cuci bebola mata dengan air rebusan daun sirih. Anda boleh mencuci mata dengan merendamkan mata ke dalam air rebusan ataupun titiskan air rebusan ke dalam mata. Mata mungkin akan berasa sedikit pedih pada mulanya, tetapi kemudian mata akan berasa segar.


3/ Detox
pembaca-pembaca juga boleh melakukan amalan detox  sama ada dengan menggunakan detox pad  yang dilekatkan pada kaki ataupun minum minuman detox. Untuk membuat air detox, ambil sebatang timun, sebiji lemon dan daun pudina. Hiriskan timun dan lemon nipis-nipis kemudian campurkan dengan 1 liter air suam di dalam bekas air. Tambahkan 10-12 helai daun pudina ke dalam air tersebut. Biarkan campuran sekurang-kurangnya 4 jam, boleh juga jika ingin disimpan di dalam peti ais. Anda boleh minum air tersebut selepas itu. Detox  sangat bagus untuk membuang toksin yang berlebihan dalam badan. Jika selalu mengamalkan detox, ia juga boleh membantu membersihkan mata putih.



Tip-tip tambahan:
- Minum banyak air boleh membantu untuk membersihkan badan anda daripada toksin dan juga membantu menghasilkan air mata yang akan mengelakkan mata kering dan kemerahan.
- Tidur adalah salah satu cara yang paling penting untuk memastikan mata anda kelihatan putih dan sihat. Pastikan anda mendapat tidur yang cukup.
-Jangan menonton TV atau menghadap laptop terlalu lama kerana ia menyebabkan mata letih.


Sumber gambar: Google image search

p/s: Sila dapatkan khidmat nasihat doktor jika anda mempunyai masalah berkaitan mata sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan.

Selamat mencuba Wallahu A’lam..

Friday, 13 June 2014

Petua Merawat Kaki Melecet

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Pernah tak pembaca-pembaca mengalami masalah kaki melecet? Kaki MinahCun akan melecet apabila shopping terlalu lama. Kulit kaki MinahCun sensitif sikit, jadi ke mana-mana selalunya akan pakai stoking untuk mengelakkan kaki melecet. Ada juga yang mengalami masalah kaki melecet ni bila menggunakan kasut yang baru. Ramai yang mengatakan kalau kita gigit dahulu kasut baru sebelum pakai, kaki tak akan melecet. Ada yang pernah cuba tak? MinahCun tak pernah cuba cara tu, jadi tak boleh nak komen. Tetapi bagi mereka yang mengalami masalah kaki melecet disebabkan berjalan terlalu lama dan kasut baru makan kaki, boleh lah mencuba petua-petua yang MinahCun dapat daripada pembacaan MinahCun ni:

1/ Teh Hijau
Bancuh air teh hijau di dalam mangkuk besar atau besen. Kemudian, rendamkan kaki di dalam bancuhan air teh hijau tersebut. Teh hijau mempunyai ciri-ciri anti-radang, ia boleh membantu untuk menenangkan kulit bengkak atau radang sekitar bahagian melecet.


2/ Daun Lidah Buaya
Ambil sebatang daun lidah buaya dan potong hujung daun tersebut untuk mendapatkan lendirnya. Sapukan lendir daun pada bahagian kulit kaki yang melecet. Amalkan beberapa hari untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Jika sukar mendapatkan daun lidah buaya, anda boleh menggunakan krim atau jeli daun lidah buaya. Daun lidah buaya akan membantu untuk menghasilkan sel-sel baru, menghilangkan lecetan dengan cepat dan membantu untuk melegakan kesakitan.


3/ Oat
Taburkan beberapa sudu oat ke dalam semangkuk air suam. Kemudian, rendamkan kaki ke dalam larutan oat tersebut. Oat boleh menbantu menyembuhkan lecetan pada kaki lebih cepat dan ia boleh mengurangkan rasa gatal di kawasan kulit kaki yang melecet.


4/ Cuka Epal (apple cider vinegar) & Bawang Merah
Ambil 2-3 biji bawang merah dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian, campurkan bawang yang telah ditumbuk dengan satu sudu cuka epal. Sapukan campuran pada bahagian kulit kaki yang melecet. Cuka epal mempunyai ciri-ciri anti-kulat dan anti-bakteria yang kuat yang boleh membantu kulit yang melecet untuk cepat sembuh.



5/ Jeli Petroleum
Sapukan lapisan nipis jeli petroleum pada bahagian kaki yang melecet untuk membantu untuk menyembuhkan lecetan. Jeli petroleum boleh mewujudkan halangan perlindungan pada kulit kaki. Ini akan membantu melindungi lecetan daripada sebarang geseran tambahan.



Tip-tip tambahan:
- Pastikan saiz kasut yang dipakai sesuai dengan kaki anda. Kasut yang terlalu ketat atau terlalu besar akan meningkatkan geseran pada kaki dan jari kaki yang boleh menyebabkan lecetan berlaku.
- Pastikan kaki kering sebelum memakai kasut. Kasut dan stoking yang basah akan menyebabkan kaki melecet jauh lebih cepat daripada kaki dan kasut yang kering.
- Pakai sarung kaki/stoking yang sesuai. Stoking adalah sangat penting kerana mereka mengurangkan kelembapan (yang menggalakkan pembentukan lecetan) dan mengurangkan geseran. stoking yang diperbuat daripada nilon adalah lebih baik daripada yang diperbuat daripada kapas, kerana ia memberikan lebih ruang pernafasan pada kaki.

Petua-petua yang dikongsikan bukan sahaja boleh digunakan untuk kaki melecet, jika tangan anda melecet, anda juga boleh mencuba petua-petua ini. Selamat mencuba. Jika pembaca-pembaca ada cara lain untuk merawat kaki/tangan melecet, boleh lah berkongsi dengan yang lain. Wallahu Alam..

Sumber gambar: Google image search

P/s: Jika anda mempunyai masalah kulit sensitif, sila dapatkan nasihat doktor sebelum mencuba sebarang petua di atas.

Petua Bibir Lembap & Merah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Kali ini MinahCun ingin kongsikan petua untuk mendapatkan bibir yang lembap dan kemerah-merahan. MinahCun memang tak suka bila bibir kering sebab rasa kurang selesa. Bagi pembaca-pembaca yang juga mempunyai masalah bibir kering dan ingin menambahkan warna merah bibir, bolehlah cuba mengamalkan petua-petua di bawah ini:

1/ Ubi Bit Merah (beetroot)

Kisarkan sebiji ubi bit merah untuk mendapatkan jusnya. Kemudian sapukan jus ubi tersebut pada bibir dan basuh selepas 30 minit. Untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik, anda boleh sapukan jus tersebut sebelum tidur dan biarkan semalaman. Kemudian cuci bibir pada keesokan harinya, amalkan setiap hari. Ubi bit mempunyai ciri-ciri pelunturan semula jadi yang boleh menghilangkan bibir gelap.

 

2/ Delima

Ambil sedikit bahagian buah delima. Sapukan airnya pada bibir. Biarkan selama 15-20 minit dan cuci dengan air bersih. Untuk kesan yang lebih baik, anda boleh campurkan air delima tersebut dengan krim susu dan air mawar. Struktur molekul kecil buah delima dapat menembusi jauh ke dalam kulit dan menjadikan bibir sentiasa lembap. Ia juga membantu memulihkan warna merah jambu semula jadi bibir.

 


3/ Madu & Limau Nipis / Lemon

Ambil satu sudu makan madu dan campurkan dengan beberapa titik limau  nipis / lemon. Kacau campuran dan sapukan pada bibir sebelum tidur dan cuci pada keesokan harinya dengan air bersih. Anda juga boleh menggunakan salah satu bahan sahaja kerana kedua-dua bahan juga bagus untuk bibir, tetapi campuran kedua-dua bahan boleh memberi kesan yang lebih baik. Madu merupakan bahan pelembap semula jadi yang boleh melembutkan bibir anda dan membantu memulihkan warna merah jambu semula jadi bibir. Lemon sering digunakan untuk merawat tompok kulit gelap dan anda boleh menggunakannya untuk mengurangkan bibir gelap secara semula jadi kerana ciri-ciri pelunturannya.

 


4/ Minyak Kelapa
Sapukan minyak kelapa pada bibir setiap hari dengan jari ataupun putik kapas, lebih afdal 2-3 kali sehari. Jika sukar untuk mendapatkan minyak kelapa, boleh juga gantikan dengan minyak zaitun (macam lebih senang nak dapat kan?). Minyak kelapa adalah pelembap semula jadi yang boleh membantu menyembuhkan bibir luka yang disebabkan oleh cuaca sejuk atau kering.


5/ Tomato & Timun
Ambil sebiji tomato dan sedikit daripada bahagian timun. Hiriskan tomato dan timun tersebut. Kemudian sapukan hirisan tomato dan timun pada bibir dan biarkan selama 15-20 minit. Amalkan setiap hari, anda akan mendapati bibir menjadi lebih halus dan tidak pecah-pecah lagi. Anda juga boleh menggunakan salah satu bahan sahaja. Timun bekerja sebagai ejen pencerah kulit yang akan membantu membuat bibir anda menjadi lebih cerah.























Selain daripada petua-petua di atas, MinahCun ingin kongsikan beberapa tip tambahan yang boleh diamalkan untuk memastikan bibir anda tidak kering.

Tip-tip tambahan:
- Amalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk mendapatkan nutrien yang cukup dan mengelakkan bibir kering.
- Minum air putih secukupnya, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk mengeluarkan toksin dari badan dan memastikan badan sentiasa cukup air untuk berfungsi dengan baik.
- Salah satu sebab utama yang menyebabkan bibir gelap ialah pengambilan terlalu banyak kafein seperti teh dan kopi. Jadi, anda perlu mengurangkan tabiat minum tersebut.
- Jangan menjilat bibir anda terlalu kerap kerana air liur akan menjadikan bibir lebih kering dan pucat.


Diharapkan, tip dan petua yang dikongsikan kali ini berguna untuk semua pembaca. Seperti kata orang, bibir merah bak delima adalah penarik bagi seorang wanitahehe.. Wallahu Alam..

Sumber gambar: Google image search

Friday, 6 June 2014

Petua Mengurangkan Kelemumur di Kepala

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Masalah kulit kepala berkelemumur merupakan antara masalah yang paling merunsingkan MinahCun. Baru-baru ni, MinahCun ada mendapatkan rawatan dan nasihat daripada perunding Yun Nam Hair Care. Mula-mula, perunding Yun Nam tu periksa keadaan rambut dan kulit kepala MinahCun. Katanya, masalah kelemumur MinahCun ni memang dah sampai tahap kritikal. Kemudian, perunding tu cuci rambut dan buat rawatan herba untik kulit kepala MinahCun.  Selepas rawatan, perunding tu periksa rambut dan kulit kepala MinahCun sekali lagi dan bandingkan keadaan rambut/kulit kepala sebelum dan selapas rawatan. Hasil rawatan memang cun. Tapi, untuk buat rawatan lanjutan untuk tiga bulan seterusnya, kosnya ialah ~RM5,000.00. Disebabkan MinahCun bukanlah kaya sangat, jadi MinahCun tak teruskan rawatan lanjutan tapi MinahCun cuba petua-petua yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Kali ni MinahCun nak kongsikan petua-petua yang mungkin boleh digunakan bagi mereka yang mengalami masalah kulit kepala berkelemumur seperti MinahCun.

1/ Kuning Telur
Ambil 1-2 biji telur, ambil bahagian kuningnya sahaja dan kacau. Sapukan kuning telur tersebut pada kulit kepala yang kering. Kemudian, tutup kulit kepala dengan plastik dan biarkan selama 1 jam. Basuh dan syampu dengan sempurna. Kuning telur mungkin menyebabkan bau yang kurang enak, anda mungkin perlu membersihkan rambut dan kulit kepala beberapa kali untuk menghilangkan bau kuning telur tersebut. Kuning telur mengandungi asid lemak dan Vitamin A yang tinggi yang boleh membantu menghilangkan kelemumur dan memperbaiki struktur kulit kepala. Vitamin A juga membantu mengurangkan kekeringan kulit kepala dengan meningkatkan jumlah minyak semulajadi pada yang terhasil pada kulit kepala.


2/ Bawang Putih
Kupas kulit bawang putih dan tumbuk bawang sehingga lumat. Kemudian urutkan bawang yang ditumbuk pada kulit kepala. Biarkan selama 15-20 minit dan cuci sehingga bersih. Bagi mereka yang kurang gemar dengan bau bawang putih, boleh campurkan madu dengan bawang putih yang telah ditumbuk. Ciri-ciri anti-kulat yang terdapat pada bawang putih sesuai untuk menghapuskan bakteria yang menyebabkan kelemumur.


3/ Daun Pandan
Ambil 8-10 helai daun pandan dan tumbuk daun sehingga lumat. Kemudian, campurkan daun yang ditumbuk dengan dua cawan air dan kacau. Tapiskan campuran tersebut dan Sapukan airnya pada rambut dan kulit kepala, biarkan selama 30 minit. Basuh rambut dan kulit kepala dengan air bersih. Rawatan menggunakan daun pandan adalah baik untuk memastikan kulit kepala lembap supaya kulit kepala tidak kering dan mengelupas yang boleh menyebabkan kelemumur. Selain menghapuskan kelemumur, daun pandan juga berfungsi untuk menghitamkan rambut.


4/ Limau Nipis
Perah 1-2 biji limau nipis untuk mendapatkan airnya. Sapukan perahan tersebut pada rambut dan kulit kepala. Kemudian, biarkan jus pada rambut dan kulit kepala selama 20-25 minit. Kulit kepala mungkin akan merasa sedikit gatal, tapi jangan risau kerana ianya adalah normal. Cuci rambut dengan air suam dengan bersih. Limau nipis adalah sangat berkesan sebagai pembersih rambut untuk menghapuskan kelemumur, minyak, dan kotoran.


5/ Biji Halba
Rendam 1-2 sudu biji halba dalam semangkuk air suam semalaman untuk melembutkan biji halba tersebut. Apabila biji halba sudah lembut, urut pes halba pada rambut dan kulit kepala anda. Biarkan pes biji halba selama 15 hingga 20 minit.Kemudian, bilas pes pada rambut. Anda boleh syampu dan merapi rambut selepas itu seperti biasa. Biji halba mempunyai ciri-ciri anti kulat yang efektif untuk menentang kelemumur yang disebabkan oleh jangkitan kulat pada kulit kepala. Lecithin yang terdapat dalam biji halba juga mempunyai ciri-ciri emulsi semulajadi yang melembapkan kulit kepala kering dan gatal, menyuburkan rambut dari akar dan menambah kilau dan sinar pada rambut.


6/ Pisang & Cuka
Kupas sebiji pisang dan lenyekkan pisang tersebut. Kemudian, campurkan dengan dua cawan cuka  dan kacau. Sapukan campuran tersebut pada rambut dan kulit kepala. Biarkan selama 30 minit dan bilas sehingga bersih. Ulang setiap hari untuk minggu yang pertama. Kemudian, amalkan seminggu sekali untuk minggu yang seterusnya. Kandungan asid dalam cuka membantu mengurangkan gatal pada kulit kepala dan mengurangkan pengelupasan kulit kepala.


7/ Minyak Kelapa
Basuh rambut, kemudian Keringkan rambut selepas mandi. Gosokkan minyak kelapa pada kulit kepala, cuba elakkan minyak kelapa terkena pada seluruh rambut.Selepas itu, basuh minyak kelapa tersebut bersih-bersih. Amalkan seminggu sekali sehingga dapat hasil yang diingini. Minyak kelapa berkesan menghapuskan kelemumur kerana ciri-ciri anti kulatnya.


8/ Serbuk Penaik (baking soda)
Gantikan syampu anda dengan serbuk penaik. Gosok satu sudu serbuk penaik pada kulit kepala dan rambut yang basah. Kemudian, basuh bersih-bersih selepas satu minit. Serbuk penaik merupakan ejen penghilang kelemumur semulajadi. Selepas dua minggu menggunakan syampu serbuk penaik, kulit kepala anda akan mula menghasilkan minyak semula jadi yang memberi kelembapan kepada kulit kepala dan menjadikannya bebas daripada kelemumur.


9/ Cuka Epal (apple cider vinegar)
Ambil satu bahagian cuka epal dan campurkan dengan satu bahagian air. Basuhkan rambut, kemudian tuangkan campuran air dan cuka epal tadi pada rambut dan urut ke kulit kepala. Biarkan selama 10-15 minit dan basuh dengan air bersih. Bau cuka akan hilang selepas rambut kering. Keasidan cuka epal boleh mengubah pH kulit kepala anda menyebabkan yis (sejenis mikroorganisma) sukar membiak pada kulit kepala.


Melalui pembacaan MinahCun, kelemumur tidak dapat diubati 100% dan hanya boleh dikawal. Jadi, bagi pembaca-pembaca yang telah mencuba pelbagai syampu untuk kelemumur tapi masih tidak mendapatkan hasil yang memuaskan, mungkin boleh mencuba petua-petua di atas. Kelemumur juga boleh menyebabkan keguguran rambut.  Diharapkan dengan mengamalkan petua yang dikongsikan, masalah kelemumur anda semua bukan sahaja berkurangan, malah rambut gugur juga berkurangan. Selamat mencuba dan katakan TIDAK pada kelemumur!!! Wallahu Alam..

Sumber gambar: Google image search


p/s: bagi mereka yang mempunyai masalah kulit kepala sensitif, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan.

Petua Menghilangkan Kesan Hitam Di Bawah Ketiak

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Masalah ketiak hitam bukan sahaja merunsingkan kaum wanita, ia juga menggugat keyakinan diri kaum lelaki, lebih-lebih lagi yang gemar mengenakan pakaian yang tidak berlengan. Bagi mereka yang tercari-cari kaedah untuk memutihkan kembali kesan hitam di bawah ketiak, munkin boleh mencuba petua-petua di bawah ini.

1/ Betik
Potong sedikit bahagian bawah buah betik dan gosokkan pada bahagian bawah ketiak yang gelap ketika mandi. Biarkan selama 15-20 minit kemudian cuci dengan air suam. Amalkan setiap hari sehingga mendapat keputusan yang memuaskan. Bagi pembaca-pembaca yang mempunyai kesukaran untuk mendapatkan buah betik, anda boleh menggunakan alternatif sabun betik yang banyak di pasaran dewasa ini. Betik berfungsi untuk menanggalkan sel-sel kulit mati dengan melarutkan kulit mati dan membenarkan pembaharuan kulit. Hasilnya, ketiak akan menjadi lebih sihat dan cerah.


2/ Timun & Lemon
Campurkan perahan lemon (boleh digantikan dengan limau) dengan timun. Kemudian gosokkan di bahagian ketiak sebelum mandi. Biarkan selama 15-20 minit dan kemudian cuci dengan air suam. Timun dan lemon merupakan ejen peluntur kulit yang baik.  Larutan lemon boleh menanggalkan sel-sel mati manakala timun pula boleh memberi kesan penyejukan dan mengelakkan gatal-gatal dan kerengsaan pada kulit.   


 3/ Air Mawar & Serbuk Cendana
Ambil 2 sudu makan serbuk cendana dan campurkan dengan 2 sudu air mawar. Buat pes yang pekat daripada campuran tersebut. Kemudian, sapukan pes tersebut ke bawah ketiak anda. Cuci dengan air bersih selepas 20 minit. Air mawar boleh menyejukkan dan melembutkan kulit ketiak manakala serbuk cendana membantu mencerahkan kulit. Wangian daripada serbuk cendana juga boleh menyingkirkan bau badan yang busuk yang disebabkan peluh yang berlebihan.


4/ Minyak kelapa
Urut ketiak dengan minyak kelapa selama 15 minit sebelum mandi. Kemudian, basuh miyak tersebut dengan air suam dan sabun yang lembut. Jika diamalkan setiap hari, InsyaAllah anda akan dapat lihat perubahan dari semasa ke semasa. Minyak kelapa mempunyai kebolehan untuk menyingkirkan kekotoran dan toksin daripada kulit dan mencerahkan ketiak. Ia juga menyingkirkan bau peluh, jadi bolehlah gunakan minyak kelapa sebagai deodoran semulajadi.


5/ Serbuk penaik (baking soda)
Letakkan 2 sudu serbuk penaik ke dalam mangkuk. Tambahkan sedikit air kepada serbuk penaik dan kacau supaya menjadi pes yang tebal. Sapukan pada ketiak dan biarkan selama 15-20 minit. Kemudian cuci dengan air bersih. Pes ini sangat efektif untuk menyingkirkan sel rosak dan sel mati, membuka liang-liang, dan membunuh kuman yang terdapat di bahagian ketiak.


6/ Ubi kentang
Potong ubi kentang nipis-nipis dan sapukan hirisan pada kawasan ketiak yang gelap selama 5-10 minit, kemudian cuci dengan air suam. Ataupun anda juga boleh memarut beberapa biji ubi kentang dan perahkan jus daripada ubi kentang tersebut. Kemudian, sapukan jus pada ketiak anda, biarkan selama 10 minit dan bilas dengan air. Ubi kentang ialah ejen peluntur kulit yang baik.



7/ Limau & Kapur Sirih
Ini merupakan petua yang paling popular di kalangan orang-orang lama. Perah sebiji limau nipis dan campurkan dengan sedikit kapur sirih. Sapukan di bawah ketiak dan biarkan selama 15 minit sebelum dicuci dengan air bersih. Lakukan tiga kali seminggu untuk mendapatkan keputusan yang memuaskan. Campuran ini boleh membersihkan daki dengan mudah dan menghilangkan bau badan.


Banyak petua-petua yang MinahCun kongsikan kali ini untuk menghilangkan kesan hitam pada ketiak. Pembaca-pembaca boleh pilih mana-mana kaedah yang berkenan di hati. Selamat mencuba dan kalau menjadi, bolehlah kongsi pengalaman sekali.Wallahu Alam..

Sumber gambar: Google image search

p/s: bagi mereka yang mempunyai masalah kulit, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan.