Friday, 6 June 2014

Petua Mengurangkan Kelemumur di Kepala

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Masalah kulit kepala berkelemumur merupakan antara masalah yang paling merunsingkan MinahCun. Baru-baru ni, MinahCun ada mendapatkan rawatan dan nasihat daripada perunding Yun Nam Hair Care. Mula-mula, perunding Yun Nam tu periksa keadaan rambut dan kulit kepala MinahCun. Katanya, masalah kelemumur MinahCun ni memang dah sampai tahap kritikal. Kemudian, perunding tu cuci rambut dan buat rawatan herba untik kulit kepala MinahCun.  Selepas rawatan, perunding tu periksa rambut dan kulit kepala MinahCun sekali lagi dan bandingkan keadaan rambut/kulit kepala sebelum dan selapas rawatan. Hasil rawatan memang cun. Tapi, untuk buat rawatan lanjutan untuk tiga bulan seterusnya, kosnya ialah ~RM5,000.00. Disebabkan MinahCun bukanlah kaya sangat, jadi MinahCun tak teruskan rawatan lanjutan tapi MinahCun cuba petua-petua yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Kali ni MinahCun nak kongsikan petua-petua yang mungkin boleh digunakan bagi mereka yang mengalami masalah kulit kepala berkelemumur seperti MinahCun.

1/ Kuning Telur
Ambil 1-2 biji telur, ambil bahagian kuningnya sahaja dan kacau. Sapukan kuning telur tersebut pada kulit kepala yang kering. Kemudian, tutup kulit kepala dengan plastik dan biarkan selama 1 jam. Basuh dan syampu dengan sempurna. Kuning telur mungkin menyebabkan bau yang kurang enak, anda mungkin perlu membersihkan rambut dan kulit kepala beberapa kali untuk menghilangkan bau kuning telur tersebut. Kuning telur mengandungi asid lemak dan Vitamin A yang tinggi yang boleh membantu menghilangkan kelemumur dan memperbaiki struktur kulit kepala. Vitamin A juga membantu mengurangkan kekeringan kulit kepala dengan meningkatkan jumlah minyak semulajadi pada yang terhasil pada kulit kepala.


2/ Bawang Putih
Kupas kulit bawang putih dan tumbuk bawang sehingga lumat. Kemudian urutkan bawang yang ditumbuk pada kulit kepala. Biarkan selama 15-20 minit dan cuci sehingga bersih. Bagi mereka yang kurang gemar dengan bau bawang putih, boleh campurkan madu dengan bawang putih yang telah ditumbuk. Ciri-ciri anti-kulat yang terdapat pada bawang putih sesuai untuk menghapuskan bakteria yang menyebabkan kelemumur.


3/ Daun Pandan
Ambil 8-10 helai daun pandan dan tumbuk daun sehingga lumat. Kemudian, campurkan daun yang ditumbuk dengan dua cawan air dan kacau. Tapiskan campuran tersebut dan Sapukan airnya pada rambut dan kulit kepala, biarkan selama 30 minit. Basuh rambut dan kulit kepala dengan air bersih. Rawatan menggunakan daun pandan adalah baik untuk memastikan kulit kepala lembap supaya kulit kepala tidak kering dan mengelupas yang boleh menyebabkan kelemumur. Selain menghapuskan kelemumur, daun pandan juga berfungsi untuk menghitamkan rambut.


4/ Limau Nipis
Perah 1-2 biji limau nipis untuk mendapatkan airnya. Sapukan perahan tersebut pada rambut dan kulit kepala. Kemudian, biarkan jus pada rambut dan kulit kepala selama 20-25 minit. Kulit kepala mungkin akan merasa sedikit gatal, tapi jangan risau kerana ianya adalah normal. Cuci rambut dengan air suam dengan bersih. Limau nipis adalah sangat berkesan sebagai pembersih rambut untuk menghapuskan kelemumur, minyak, dan kotoran.


5/ Biji Halba
Rendam 1-2 sudu biji halba dalam semangkuk air suam semalaman untuk melembutkan biji halba tersebut. Apabila biji halba sudah lembut, urut pes halba pada rambut dan kulit kepala anda. Biarkan pes biji halba selama 15 hingga 20 minit.Kemudian, bilas pes pada rambut. Anda boleh syampu dan merapi rambut selepas itu seperti biasa. Biji halba mempunyai ciri-ciri anti kulat yang efektif untuk menentang kelemumur yang disebabkan oleh jangkitan kulat pada kulit kepala. Lecithin yang terdapat dalam biji halba juga mempunyai ciri-ciri emulsi semulajadi yang melembapkan kulit kepala kering dan gatal, menyuburkan rambut dari akar dan menambah kilau dan sinar pada rambut.


6/ Pisang & Cuka
Kupas sebiji pisang dan lenyekkan pisang tersebut. Kemudian, campurkan dengan dua cawan cuka  dan kacau. Sapukan campuran tersebut pada rambut dan kulit kepala. Biarkan selama 30 minit dan bilas sehingga bersih. Ulang setiap hari untuk minggu yang pertama. Kemudian, amalkan seminggu sekali untuk minggu yang seterusnya. Kandungan asid dalam cuka membantu mengurangkan gatal pada kulit kepala dan mengurangkan pengelupasan kulit kepala.


7/ Minyak Kelapa
Basuh rambut, kemudian Keringkan rambut selepas mandi. Gosokkan minyak kelapa pada kulit kepala, cuba elakkan minyak kelapa terkena pada seluruh rambut.Selepas itu, basuh minyak kelapa tersebut bersih-bersih. Amalkan seminggu sekali sehingga dapat hasil yang diingini. Minyak kelapa berkesan menghapuskan kelemumur kerana ciri-ciri anti kulatnya.


8/ Serbuk Penaik (baking soda)
Gantikan syampu anda dengan serbuk penaik. Gosok satu sudu serbuk penaik pada kulit kepala dan rambut yang basah. Kemudian, basuh bersih-bersih selepas satu minit. Serbuk penaik merupakan ejen penghilang kelemumur semulajadi. Selepas dua minggu menggunakan syampu serbuk penaik, kulit kepala anda akan mula menghasilkan minyak semula jadi yang memberi kelembapan kepada kulit kepala dan menjadikannya bebas daripada kelemumur.


9/ Cuka Epal (apple cider vinegar)
Ambil satu bahagian cuka epal dan campurkan dengan satu bahagian air. Basuhkan rambut, kemudian tuangkan campuran air dan cuka epal tadi pada rambut dan urut ke kulit kepala. Biarkan selama 10-15 minit dan basuh dengan air bersih. Bau cuka akan hilang selepas rambut kering. Keasidan cuka epal boleh mengubah pH kulit kepala anda menyebabkan yis (sejenis mikroorganisma) sukar membiak pada kulit kepala.


Melalui pembacaan MinahCun, kelemumur tidak dapat diubati 100% dan hanya boleh dikawal. Jadi, bagi pembaca-pembaca yang telah mencuba pelbagai syampu untuk kelemumur tapi masih tidak mendapatkan hasil yang memuaskan, mungkin boleh mencuba petua-petua di atas. Kelemumur juga boleh menyebabkan keguguran rambut.  Diharapkan dengan mengamalkan petua yang dikongsikan, masalah kelemumur anda semua bukan sahaja berkurangan, malah rambut gugur juga berkurangan. Selamat mencuba dan katakan TIDAK pada kelemumur!!! Wallahu Alam..

Sumber gambar: Google image search


p/s: bagi mereka yang mempunyai masalah kulit kepala sensitif, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan.

No comments:

Post a Comment