Tuesday, 13 May 2014

Petua Menghilangkan Parut Pada Kulit / Kesan Jerawat


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang mengalami masalah parut pada kulit ataupun kesan jerawat pada muka atau badan. Di sini MinahCun ingin kongsikan petua-petua menggunakan bahan semulajadi yang boleh dicuba dan diamalkan untuk mengatasi masalah tersebut. Jika diamalkan selalu, InsyaAllah kesan parut tersebut akan beransur-ansur hilang tapi perlu diingatkan petua-petua ini bukanlah magika di mana dengan mencuba sekali dua parut terus akan hilang. Perlulah konsisten dan banyakkan bersabar. Antara petua-petua yang boleh dimalkan termasuklah:

1/ Daun Lidah Buaya
Basuh dan bersihkan daun lidah buaya, kemudian belah dua, anda akan lihat terdapat lendir di bahagian dalam daun tersebut. Sapukan lendir daun tersebut pada bahagian kulit yang mempunyai parut sebanyak dua kali sehari, pagi dan malam dan biarkan selama 30 minit. Kemudian basuh dengan air suam. Bagi mereka yang mempunyai kesukaran mencari daun lidah buaya ni, boleh juga menggunakan jeli/agar-agar daun lidah buaya yang terdapat di farmasi-farmasi berdekatan anda. Daun lidah buaya mempunyai ciri-ciri anti-radang, apabila digunakan untuk parut jerawat, ia boleh menyebabkan kemerahan parut hilang.


 











2/ Tomato
Potong dadu tomato dan letakkan dalam mangkuk. Hancurkan tomato dengan menggunakan belakang sudu. Sapukan tomato pada kulit yang berparut seperti muka, tangan dan kaki. Selapas 1 jam, bilas tomato dengan air suam tanpa menggunakan sabun. Tomato mengandungi kandungan air yang tinggi yang boleh melembapkan kulit. Tomato juga mengandungi vitamin A yang boleh meremajakan kulit dan membantu dalam pertumbuhan kulit yang baru.


3/ Timun
Ambil sebiji timun yang segar dan hiris nipis. Letakkan hirisan timun tersebut pada kulit yang berparut dan biarkan selama 15-30 minit. Kemudian, bilas dengan air bersih. Amalkan setiap hari untuk hasil yang lebih cepat. Timun mempunyai kandungan air yang tinggi yang boleh melembapkan kulit dan melegakan keradangan.



4/ Asam Jawa
Ambil asam jawa yang mencukupi, kemudian tambah sedikit air kepada asam jawa. Ramaskan asam jawa supaya menjadi campuran yang pekat dan gosokkan pada kulit yang berparut. Biarkan sehingga kering. Amalkan sebelum tidur dan cuci campuran pada keesokan harinya. Asam jawa mengandungi ‘alpha hydroxyl acids (AHA)’ yang boleh meghilangkan sel-sel kulit mati.



5/ Kulit Kayu Manis & Madu
Tumbuk kulit kayu manis sehingga lumat atau boleh juga gunakan serbuk kulit kayu manis. Campurkan serbuk kulit kayu manis dengan madu. Campuran ini mungkin boleh menyebabkan kepedihan pada kulit. Jadi, untuk mengurangkan rasa pedih, lebihkan nisbah madu berbanding serbuk kulit kayu manis. Kemudian sapukan campuran tersebut kepada kulit yang berparut. Setelah kering, cucikan campuran dengan air suam.

  

MinahCun pernah cuba petua yang kelima tu, menggunakan serbuk kulit kayu manis dan madu untuk menghilangkan kesan jerawat. Allahamdulillah, memang boleh lihat kesan jerawat pada kulit muka MinahCun berkurang. Jadi, jangan malu-malulah untuk mencuba petua-petua yang MinahCun kongsikan di atas. Kesan mungkin berbeza bagi setiap individu, yang penting jangan berputus asa!! Wallahu A’lam..

Sumber gambar: Google image search

p/s: bagi mereka yang mempunyai masalah kulit, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan.

No comments:

Post a Comment