Saturday, 24 May 2014

Petua Mengempiskan Perut

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Semua wanita mengidamkan perut yang rata dan tidak sukakan perut yang buncit, betul tak? Biasalah, wanita memang sukakan pada kecantikan dan perut buncit mungkin boleh membuatkan seseorang kurang berkeyakinan untuk berdepan dengan orang ramai. Perut buncit juga merupakan tanda awal kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya. Pembaca-pembaca mungkin boleh cuba menggunakan petua-petua yang MinahCun ingin kongsikan ini. MinahCun tak boleh janjikan petua-petua ini berkesan untuk semua orang, tetapi usaha adalah tangga kejayaan dan Allah sukakan hamba-hambaNya yang berusaha dan rajin, jadi tak salah kan kalau mencuba. Petua-petua ini bukan sahaja boleh diamalkan oleh kaum wanita, kaum lelaki juga boleh mencuba. Antara petua-petua tersebut ialah:

1/ Air Limau Nipis & Kapur Sirih
Sediakan limau nipis, perahkan airnya ke dalam gelas dan dicampurkan dengan air. Kemudian, campurkan pula dengan kapur sirih dan dikacau sebati. Sapukan campuran tersebut pada perut sebelum tidur dan biarkan ianya kering sehingga pagi. Ada juga yang mencadangkan dibalut dengan bengkung, terpulang kepada kesesuaian anda, kalau malas tak perlulah gunakan bengkung.



2/ Asam Jawa
Ambil asam jawa, bancuhkan dengan segelas air panas dan juga garam pada malam hari. Kemudian, biarkan bancuhan tersebut semalaman. Minum bancuhan tersebut pada keesokan harinya apabila bangun tidur. Amalkan setiap hari jika ingin melihat kesannya. Asam jawa merupakan pelawas yang membantu mengelakkan sembelit dan kembung perut.   



3/ Daun Lidah Buaya
Ambil daun lidah buaya dan masukkan ke dalam periuk. Kemudian, tambahkan dengan air asam jawa dan didihkan campuran tersebut dengan api kecil sehingga pekat. Setelah campuran menjadi pekat, tutup api dan biarkan campuran menyejuk. Setelah campuran menjadi sejuk, bolehlah disapukan pada bahagian perut, cuci apabila kering. Daun lidah buaya adalah ejen antioksidan semulajadi yang melambatkan pertumbuhan radikal bebas dalam badan. Ia juga membantu menjalankan fungsi sistem pencernaan dengan baik.


4/ Kulit Kayu Manis & Madu
Tumbuk kulit kayu manis sehingga lumat atau boleh juga gunakan serbuk kulit kayu manis. Masukkan ½ sudu serbuk kayu manis ke dalam segelas air suam dan kacau. Kemudian, campurkan satu sudu madu ke dalam larutan kulit kayu manis tadi dan kacau sehingga sebati. Amalkan minum campuran ini setiap malam sebelum tidur. Madu merupakan gula semulajadi dan penting dalam menghapuskan lemak yang tersimpan dalam badan. Ia juga merupakan ejen antioksidan. Manakala kulit kayu manis boleh merendahkan kolesterol LDL dan membantu mengawal paras glukosa darah. Menurut laman web World's Healthiest Foods, kulit kayu manis boleh memberi kesan pembakaran termogenik yang membolehkan ianya membakar lemak dengan cepat dan tidak membenarkan lemak disimpan dalam badan anda.


Selain daripada petua-petua di atas, MinahCun ingin kongsikan sedikit tip tambahan untuk membantu mengelakkan/mengurangkan perut buncit.

Tip-tip tambahan:
-Makan dengan perlahan
Kunyah makanan sehingga lumat agar perut senang memproses makanan tersebut dengan baik. Kalau boleh, kunyah 40 kali. Jika kita makan dengan cepat, ia boleh menyebabkan udara tersumbat di dalam usus yang membentuk gas yang boleh menyebabkan kembung perut dan perut menjadi buncit.

-Amalkan sit-up
Amalkan sit-up megikut kemamapuan diri, apabila bangun dari tidur dan sebelum tidur. Sit-up boleh membentuk perut yang tegang jika kerap diamalkan.

-Elak minum ketika makan
Elakkan minum air semasa mengambil makanan berat seperti nasi, mee dll. Pengambilan air ketika makan boleh menyebabkan perut buncit. Sebaik-baiknya minum air sebelum makan atau 1 jam selepas makan.


Mudahkan nak kempiskan perut? Yang penting mestilah rajin dan kosisten. MinahCun memang mengamalkan semua tip-tip tambahan di atas. Tapi yang part sit-up tu susah sikit la. MinahCun juga sekarang sedang berjinak-jinak dengan petua #4, minum larutan serbuk kulit kayu hitam dengan madu sebab MinahCun memang suka minum madu untuk kekal awet muda..hehe Selamat mencuba semua!! Wallahu Alam..

Sumber gambar: Google image search

p/s: bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan usus dan sistem percernaan, sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua yang dikongsikan.

No comments:

Post a Comment