Wednesday, 23 July 2014

Petua Mendapatkan Kuku yang Cantik & Sihat

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.r & salam sejahtera.

Bak kata orang, kalau nak mengetahui sama ada seseorang tu pembersih atau pun tidak, tengok lah pada kukunya. Kalau kuku seseorang tu panjang dan penuh daki hitam, maka kemungkinan besar orang itu adalah pengotor. Jadi, kenalah jaga kebersihan kuku supaya kuku sentiasa kelihatan cantik dan dalam masa yang sama boleh mengelakkan jangkitan kuman yang disebabkan oleh kuku yang kotor. Pada zaman sekarang, ramai perempuan di luar sana yang berhabis duit untuk rawatan manicure dan pedicure demi mendapatkan kuku yang cantik. Bagi mereka yang ingin mendapatkan kuku yang cantik dengan menggunakan barangan dapur anda, boleh lah mencuba petua-petua ini:

1/ Susu
Bancuh secawan susu suam. Rendamkan kuku anda ke dalam larutan susu tersebut selama 5 minit. Sebagai alternatif, anda juga boleh mengamalkan minum susu suam setiap hari. Larutan susu mengandungi kandungan protein yang boleh membantu menguatkan kuku. Kerap merendamkan kuku di dalam larutan susu juga boleh membantu melembutkan kulit. 


 2/ Timun
Ambil sepotong timun dan sapukan pada kuku anda. Lakukan dengan kerap untuk mendapatkan kuku yang cantik. Anda juga boleh mengamalkan meminum jus timun sebagai alternatif jika tidak mahu menyapunya pada kuku. Timun mengandungi kandungan silikon yang tinggi, yang penting untuk membina dan mengekalkan kuku yang kuat.


3/ Air Mawar
Sediakan semangkuk air mawar dan rendamkan kuku anda ke dalam rendaman air mawar tersebut selama 10-15 minit. Air mawar bukan sahaja mempunyai bau yang wangi, ia juga mempunyai manfaat terapeutik dan mempunyai ciri-ciri anti-radang dan anti-bakteria yang boleh merawat kulit mati dan melembapkan kuku dan kulit yang kering. Ia juga boleh membantu anda mendapatkan kuku yang cantik dengan memberi warna merah/merah jambu pada kuku.


 4/ Minyak Zaitun
Panaskan minyak zaitun dalam ketuhar dan biarkan ia sejuk sedikit. Rendamkan kuku anda dalam minyak tersebut selama 15 hingga 30 minit. Kemudian, urutkan minyak zaitun pada kuku dengan gerakan kecil membulat sehingga minyak menyerap sepenuhnya pada kuku. Minyak zaitun membekalkan kelembapan pada kuku dan bagus dalam membantu pertumbuhan kuku yang sihat. Ia juga boleh membantu menjadikan kuku berkilat secara semulajadi.


 5/ Lemon/limau nipis
Sediakan semangkuk jus lemon/limau. Kemudian, rendamkan kuku ke dalam larutan jus tersebut selama 15-20 minit supaya kuku dapat menyerap kandungan mineral yang terdapat pada lemon/limau. Selain menguatkan kuku, lemon/limau juga boleh membantu menjernihkan kuku.


Tip-tip tambahan:
-Jangan amalkan menggigit kuku. Tabiat ini boleh merosakkan bahagian tepi kuku dan membenarkan bakteria atau kulat masuk dan menyebabkan jangkitan.
-Pastikan kuku sentiasa kering dan bersih untuk mengelakkan jangkitan kuman.
-Elakkan terlampau kerap menggunakan bahan kimia seperti pewarna kuku.


Selamat mencuba semua… Wallahu A’lam..

Sumber gambar: Google image search

P/S: Sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor sebelum mencuba sebarang petua jika anda mempunyai masalah kulit sensitif.